Rabu, 12 November 2008

Balangingi Dan Iranun : Askar Laut Kerajaan Marudu

Balangingi dan Irranun adalah dua kumpulan bangsa laut yang berasal dari Kepulauan Sulu dan Mindanao. Kedua-dua suku bangsa ini merupakan dua suku bangsa yang paling gagah dan berani dalam menghadapi peperangan di laut. Balangingi dikenali juga sebagai Bajau,Sama, Bajau-Suluk,Bannaran atau Banadan, Balanini dan Bangingi yang merupakan sub-itnek dari kumpulan bangsa Bajau Utara . Di Sulu, suku bangsa ini mendiami kepulauan Tungkil dan berpusat di Bangingi, Sipak, Sangap dan di Bukutingol. Di Tawi-tawi pula mereka berpusat di Bannaran dan di Balimbing. Mereka juga menempati Pulau Palawan. Manakala di Borneo ( Sabah ) mereka mendiami dan berpusat di Sungai Langkon-Marudu, di Limau-limauan ( Kudat ), di Telisai dan Tungku ( Lahad Datu ). Mereka juga bergabung dengan suku Irranun di Ambong dan Tempasuk. Suku Irranun atau Ilanun atau Lanun pula berasal dari Pulau Mindanao dan mendiami kawasan Maranao dan Lanao. Di Borneo ( Sabah ) mereka berpusat di Tempasuk, Ambong, Pandasan ( Kota Belud ), di Sungai Langkon -Marudu, dan di Tungku ( Lahad Datu ).


Suku bangsa Balangingi di bawah naungan dan pertuanan kesultanan Sulu mana kala suku bangsa Irranun di bawah pertuanan Kesultanan Kotabato-Mindanao. Kedua-dua suku bangsa ini pada awalnya seringkali bergabung dan menyerang kapal-kapal Sepanyol, Belanda dan Inggeris di Perairan Sulu, Indonesia, Tanah Melayu ( Melaka ). Mereka menjadi musuh utama penjajah Barat dan merupakan kumpulan yang amat digeruni di Nusantara oleh pihak penjajah Barat.


Pada abad ke 18 dan 19, kedua-dua kumpulan ini telah melancarkan peperangan laut yang amat dahsyat dan berlanjutan sehingga hampir seratus tahun. Munculnya aktiviti melawan penjajah barat ini menyebabkan mereka dikenali sebagai lanun dan bajak laut oleh orang-orang barat yang menjajah kepulauan Nusantara. Kedua-dua kumpulan ini amat digeruni di laut dan mereka akan menyerang kapal-kapal barat dan sekutunya serta merampas muatannya. Orang-orang tawanan akan ditawan dan dijual sebagai hamba atau dalam istilah Balangingi-Sulu "Banyaga" dan dalam istilah Irranun pula digelar " Bisaya". Aktiviti ini menjadi kegiatan terhormat pada masa itu dan dan selalunya dibiayai oleh sultan-sultan di Sulu, Mindanao, Siak, Sambas, Johor dan lain-lain sultan di Kepulauan Melayu. Keadaan ini menyebabkan kegiatan mereka berleluasa sehingga ke seluruh Kepulauan Luzon, Visayah, Sulu, Sulawesi, Johor-Riau, Selat Melaka dan menjangkau ke perairan Banda, Jawa, New Guinea sehingga ke Teluk Bengal di India dan Teluk Andaman di Burma serta perairan Indocina dan Siam.


Kedua-dua kumpulan ini menjadi pembekal utama hamba di Nusantara. Hamba-hamba yang ditawan akan dijual di pelabuhan-pelabuhan utama di Nusantara. Mana kala tawanan yang terdiri dari orang-orang Sepanyol, Belanda dan Inggeris akan dijual semula atau dibebaskan oleh orang-orang Barat dengan tukaran dan bayaran yang tertentu. Kedua-dua bangsa ini tercatat dalam sejarah dunia sebagai dua bangsa Timur ( Nusantara ) yang satu-satunya berjaya menjadikan orang-orang Barat hamba abdi dan juga merupakan dua suku bangsa yang satu-satunya dapat menjual orang barat di pelabuhan-pelabuhan utama di Kepulauan Nusantara. Justeru itulah, orang-orang Barat menggelar kedua-dua bangsa ini sebagai " Orang yang paling berani di dunia " ( ).


Apabila beberapa wilayah di Sabah diserahkan oleh Sultan Brunei kepada Sultan Sulu dan pembesar-pembesar Sulu dilantik mentadbir kawasan-kawasan sungai di Sabah, orang-orang Balangingi dan Iranun telah menjadi tulang belakang pertahanan laut dan darat di Sabah. Mereka juga menjadi pembekal utama hamba abdi ke Borneo untuk bekerja memungut hasil-hasil laut dan hutan di Sabah. Tawanan perang akan dijual di Marudu, Mengkabong, Sulaman, Labuan, Brunei, Sarawak dan kalimantan, Betawi dan lain-lain pelabuhan utama di Nusantara.( )


Apabila Shariff Osman memerintah Marudu, beliau telah membiayai orang-orang Balangingi dan Irranun untuk memerangi orang-orang Sepanyol, Belanda dan Inggeris yang ingin menjajah Borneo. Orang-orang Barat ini pula telah bertapak di Timur dan mereka telah mengambil orang-orang tempatan untuk menjadi askar upahan. Orang-orang Sepanyol di Filipina telah mengambil orang-orang Visayas, Luzon dan orang-orang asli Filipina sebagai askar dan pekerja mereka, orang-orang Belanda pula mengambil orang-orang Jawa, Batak dan Dayak mana kala orang-orang Inggeris mengambil orang-orang Iban, India, Sikh, Cina dan Dayak sebagai askar dan pekerja mereka. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pertembungan di kalangan sesama sendiri di kalangan bangsa tempatan dalam setiap siri peperangan yang berlaku antara pihak Penjajah Barat dan orang-orang Balangingi-Irranun. Justeru itu, setiap tawanan perang yang ditawan oleh orang-orang balangingi-Irranun akan dijadikan hamba tidak kira ianya orang Barat ataupun orang-orang tempatan. Dasar Pecah-Perintah Penjajah Barat ini bagaimanapun tidak mampu menghalang penentangan orang-orang tempatan terhadap mereka.


Shariff Osman menjadi orang yang amat ditakuti oleh penjajah Barat. Beliau diisytiharkan dan dituduh telah menjadi Ketua lanun dan membiayai aktiviti pelanunan di Asia Tenggara. Marudu, Tempasuk, Ambong, Palawan dan Tungku telah dijadikan markas utama oleh orang-orang Balangingi-Irranun untuk menjalankan kegiatan mereka dan melancarkan serangan terhadap pihak penjajah Barat.


Apabila pihak British memajak Sabah dari Sultan Sulu dan Sultan Brunei, Shariff Osman enggan mengikhtiraf pihak British. Beliau menentang penyerahan Sabah kepada pihak Amerika dan British. Beliau meminta kapal-kapal dagang barat yang berdagang di wilayahnya khususnya di Teluk Marudu agar membayar cukai kepadanya. Permintaan beliau tidak diendahkan oleh pihak British malahan beliau dihina dan ditertawakan oleh orang-orang Barat di Teluk Marudu ( ). Beliau telah menemui menemui Sultan Sulu dan memaklumkan pencerobohan wilayahnya di Marudu oleh pihak Barat, tetapi Sultan Sulu bersikap acuh tak acuh dan memaklumkan bahawa perjanjian telahpun ditandatangani dengan pihak barat dan menasihatkan Shariff Osman menyelesaikan sendiri masalah di Marudu.

Memandangkan penghinaan yang diterima oleh Shariff Osman dari pihak barat telah mencabar kewibawaannya sebagai Ketua dan Raja di Marudu, beliau telah bertindak menentang mana-mana penceroboh asing di perairan Teluk Marudu. Shariff Osman telah menangkap orang-orang barat yang enggan membayar cukai kepadanya di kawasan Marudu. Aktiviti pelanunan dan perang di laut semakin berleluasa dan pihak barat menuding jari kepada Shariff Osman dan menganggap Shariff Osman Ketua Lanun. Beberapa kapal dagang barat yang berlabuh di Marudu telah mencetuskan peperangan dengan Shariff Osman. Akibatnya, Shariff Osman semakin marah dan tercabar. Beliau telah memerangi setiap orang barat yang berdagang di Marudu dan yang berani menjatuhkan maruahnya. Beliau telah bertindak lebih berani dan ganas. Dengan kekuatan tenteranya yang melebihi 5,000 orang terdiri dari orang-orang Balanini, Illanun, Samah, Suluk, orang Sungai dan suku Dusun, Shariff Osman telah bertindak nekad. Mana-mana orang barat yang menentangnya akan diperangi dan dibunuh. Musuh-musuh yang berjaya dibunuh akan dipenggal kepalanya dan dipotong kemaluannya sebagai amaran kepada pihak penjajah barat.

Shariff Osman dan tenteranya telah membina kubu pertahanan di Sungai Besar ( sungai Marudu ). Kepala musuh yang dipenggal akan diserahkan kepada orang-orang "Sagaih" iaitu orang-orang Dusun dan Dayak yang menganggap kepala musuh sebagai "Hadiah berharga tanda kepahlwanan seseorang". Kemaluan orang-orang Barat dan pihak musuh pula akan dipotong dan dicucuk dengan rotan untuk digantung merentangi Sungai Marudu. Tindakan ini bertujuan untuk menakut-nakutkan pihak barat dan mana-mana musuh yang ingin mencabar kekuatan orang-orang Marudu. Akibatnya, Shariff Osman telah dicanangkan oleh pihak Barat terutamanya Rajah James Brooke di Sarawak sebagai orang yang kejam, tidak bertamadun, jahat dan Ketua Lanun yang harus diperangi. Tindakan Shariff Osman ini "amat memberi malu kepada orang-orang barat" .Penghinaan Shariff Osman tehadap orang-orang barat " tidak pernah diterima dan dialami oleh mana-mana kuasa barat yang menjajah Asia" dan "belum pernah mana-mana kuasa dunia dan pemerintah yang berani memotong dan menggantung kemaluan orang barat di khalayak ramai". Pihak British telah memaklumkan Rajah Brooke Sarawak dan Queen Britsih. Pihak barat juga telah melancarkan perang saraf dengan mengumumkan kepada rakyat bahawa Shariff Osman adalah "Lanun yang jahat " dan bukannya "Pelindung Rakyat". Pihak British telah meminta sokongan Sultan Brunei untuk memerangi Sharif Osman dan orang-orang Balanini-Illanun yang dianggap "Kumpulan Lanun yang paling Berani dan berbahaya di Asia Tenggara". Walau bagaimanapun, Sultan Brunei menunjukkan sokongan yang agak dingin disebabkan bapa mertuanya sendiri sedang berperang dengan pihak british. Pangeran Yusop yang bersengketa dengan Rajah Muda Hashim telah menyokong Shariff Osman. Pihak pentadbir Syarikat Berpiagam Borneo Utara British telah meminta tentera Diraja British di London untuk memerangi Shariff Osman dan membuang arang yang diconteng di muka kerajaan British.

Kemuncak daripada sengketa ini, pihak barat yang mengadu-domba Pengiran Muda Hashim dan Pangeran Yusop telah mengakibatkan kedua-dua tokoh brunei ini terkorban. Pangeran Yusop telah digantung oleh pihak British dan Rajah Muda Hashim pula mati dibakar oleh pengikut-pengikut Pangeran Yusop yang membalas dendam. Shariff Osman sebelumnya telah diserang oleh tentera british dan tentera Rajah Brooke yang bergabung dengan Angkatan Tentera Laut Diraja British dan tentera Rajah Muda Hashim dan telah memusnahkan kubu Marudu. Dilaporkan dalam beberapa akhbar barat di Singapura, London, Australia dan Hong Kong bahawa Shariff Osman telah terbunuh dan markas lanun terbesar di Asia Tenggara iaitu Marudu telah dimusnahkan. Tentera Balanini-Ilanun yang berpangkalan di Marudu telah dimusnahkan dan kapal-kapal adjung mereka telah ditawan.

Ketumbukan tentera british ini juga telah memusnahkan lebih awal tentera Balanini-Illanun di perairan Labuan.Tentera ini sebenarnya ingin bergabung dengan tentera Balanini-Illanun yang ada di Marudu dan Tempasuk tetapi gagal menandingi keampuhan peralatan perang barat dan teknologi kapal wap barat ketika itu. Dengan terciptanya kapal wap dalam Revolusi Barat telah memadamkan dan memusnahkan kekuatan tentera Balanini-Illanun yang menggunakan teknologi layar dan berdayung ketika berperang di lautan. Kekuatan, keberanian dan kehandalan tentera Balanini-Illanun di lautan yang digeruni oleh orang-orang barat selama lebih kurang 300 tahun akhirnya dapat ditewaskan dan dimusnahkan. Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu pula semakin lemah dan mengalami krisis dalaman yang berterusan.

Dengan musnahnya Kubu Shariff Osman di Marudu, penguasaan pedagangan oleh pihak barat di Boreno Utara semakin berterusan. Walau bagaimanapun, penentangan Shariff Osman terhadap kuasa barat ini telah menjadi titik-mula penentangan orang-orang tempatan terhadap British. Tindakan Shariff Osman dan tentera Balanini-Illanun di perairan Borneo Utara telah mengakibatkan syarikat British mengalami kerugian harta benda dan hasil yang banyak dan perdagangan mereka di Borneo Utara hampir lumpuh.

Ahad, 12 Oktober 2008

SYARIFF OSMAN : WIRA MARUDU

Syariff Osman atau nama sebenarnya Syariff Osman Bin Syariff Mohamad Rum adalah seorang Ketua Wilayah atau Raja yang memerintah Marudu di antara tahun 1830 - 1845. Beliau berketurunan Bajau/Suluk dan telah diamanahkan oleh Sultan Sulu bagi mentadbir kawasan Marudu. Bapanya seorang yang berketurunan syariff atau syed dan merupakan salah seorang pembesar istana Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei.

Apabila Kesultanan Sulu mengambil alih beberapa kawasan di Borneo Utara dari Kesultanan Brunei, Syariff Osman telah dia amanahkan mentadbir wilayah Marudu. Pada masa ini, Struktur Pentadbiran Borneo ( Sabah ) di bawah Kesultanan Sulu telah dibahagikan kepada tiga wilayah atau kawasan; iaitu Wilayah Marudu, Wilayah Mangindora dan Wilayah Tirun. Wilayah Marudu meliputi kawasan kepulauan Palawan, Balabak, Banggi, Balambangan, Marudu, Tempasuk, Ambong, Pitas atau Lingkabao, Paitan, Sugut, Labuk dan berakhir di Teluk Sandakan. Wilayah Mangindora pula meliputi kawasaan Sandakan, Kinabatangan, Tungku, Sabahan ( Tingkayu ), sehingga ke Sungai Apas. Manakala Wilayah Tirun menganjur dari Sabahan sehingga ke kawasan Sibuko, Sambakong, Bulungan dan Berau. Kesemua kawasan ini ditadbir oleh beberapa orang Ketua Sulu yang terdiri daripada Datu, Shariff, Tuan dan Pangeran. Walau bagaimanapun, Marudu adalah wilayah utama dan merupakan kawasan yang terbesar sekali di antara tiga wilayah itu. Marudu diketuai oleh Shariff Osman, Mangindora diketuai oleh Tuan Abandol ( Sungai Sandakan ), Datu Bandar ( Pangeran ) Betau (di Segaliud dan mengetuai orang-orang Buludupi/Idaan/Sungai ). Mana kala Wilayah Tirun ditadbir oleh beberapa orang Datu, antaranya ialah Datu Sapindin yang mentadbir Sabahan ( sebuah daerah di Teluk Darvel ).

Shariff Osman telah berkahwin dengan seorang puteri Sulu yang dikenali sebagai Dayang Cahaya iaitu anak Raja Muda Bantilan atau Sultan Badaruddin. Dayang Cahaya merupakan adinda kepada Raja Muda Sulu iaitu Datu Mohamad Buyo atau Maharaja Adinda Aranan Puyoh.
Syariff Osman telah mendirikan pusat pentadbirannya di kawasan Kuala Sungai Besar ( Sungai Bandau-Langkon ( ). Beliau telah menjalankan perniagaan mengeksport hasil-hasil hutan dan laut seperti kapur barus, rotan, mutiara, beras bukit, kulit penyu, sarang burung, hasil-hasil laut dan sebagainya. Pada masa ini, Marudu muncul sebagai kawasan utama penyumbang hasil-hasil tersebut ke Sulu dan adalah wilayah yang terpenting sekali di antara semua wilayah Kesultanan Sulu. Syariff Osman juga dipertanggung jawabkan untuk memungut cukai untuk dirinya dan Sultan Sulu dari pedagang-pedagang yang menjalankan perniagaan di kawasan Marudu. Oleh itu, beliau telah melantik wakilnya yang terdiri daripada Datu-datu Sulu dan Ketua-ketua Suku untuk menjalankan tanggung jawab ini.

Pada masa ini juga, aktiviti pelanunan semakin berleluasa dan tidak dinafikan ada di antara ketua-ketua yang dilantik oleh Shariff Osman terlibat dalam aktiviti ini. Aktiviti ini sebenarnya dimulakan oleh pihak Sepanyol pada masa pelayaran Ferdinand Magellan. Ferdinand Magelland dicatatkan dalam sejarah oleh Pigafetta sebagai orang yang mula-mula sekali melanun di kepulauan Sulu( ). Ferdinand Magellan dalam perjalanan dari Sampang Mengayau ( Borneo ) pada tahun 1521 telah merompak kapal Wizurai Brunei di perairan Paragua ( Pulau Palawan ) dan menawan Raja Pulau Palawan iaitu Tuan Mahamud dan anaknya Tuan Ahmad( ). Ferdinand Magelland telah membawa Tuan Mahamud ke Pulau Palawan dan memaksa penduduk di sana memberi makanan seperti ayam, kambing, babi, pisang, ubi dan bermacam-macam lagi kepada rombongan Magellan( ). Sejarah ini telah memulakan aktiviti peperangan di laut di antara orang-orang barat dan orang-orang tempatan dan selalunya pihak yang kalah akan dirampas kapal dan harta bendanya. Tawanan akan dijual sebagai hamba di mana-mana pelabuhan dagang utama. Aktiviti ini juga berlaku di kalangan pihak yang bermusuhan sama ada di kalangan kapal-kapal dagang barat sesama sendiri atau di antara pihak barat dan pihak timur. Sebenarnya sejarah penjajahan baratlah yang memulakan aktiviti ini. Keadaan ini berterusan sehinggalah pada abad ke-18 dan ke-19. Antara kumpulan lanun Borneo dan Sulu yang terkenal ialah kumpulan orang-orang Illanun ( Irranun ), Balanini ( Bangingi ) dan orang-orang Dayak Laut.

Sebenarnya, tidak ada satupun dokumen barat mahupun mana-mana dokumen dari Kesultanan Brunei atau Kesultanan Sulu yang dapat mengesahkan bahawa Syariff Osman telah merompak kapal dagang atau menyerang kampung mana-mana penduduk tempatan. Kebijaksanaan dan kepimpinan Syariff Osman sebenarnya adalah faktor utama yang telah menimbulkan rasa kemarahan dan perasaan cemburu pihak Barat dan beberapa pembesar Brunei. Syariff Osman dan pengaruhnya yang kuat ketika di Borneo dan Sulu itu boleh mengancam kewibawaan dan kekuasaan pihak Barat dan Brunei. Lebih-lebih lagi, tindakan Syariff Osman mengisytiharkan dirinya sebagai " Pemerintah Bebas " telah menimbulkan kemarahan musuh-musuhnya dan jika tidak dihalang dan dimusnahkan sudah tentulah Syariff Osman akan menjadi Sultan di Borneo. Pihak pembesar Brunei, Rajah James Brooke dan pihak British North Borneo akan terancam dan akan mengagalkan semua agenda mereka di Borneo Utara. Dr.Ranjit Singh, dalam buku, Commorative History Of Sabah 1881 - 1981 membuat ulasan seperti berikut;

"In certain cases, where Brunei and Sulu authority was lax and the settled population feared attacks by pirates, men of out-standing ability, strength and an independent disposition were able to establish themselves as protectors and virtual independent chiefs" ( )

Oleh yang demikian, kemunculan Ketua Bebas seperti Shariff Osman adalah disebabkan oleh kemerosotan dan lemahnya kekuasaan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu pada masa itu dan disebabkan oleh meningkatnya ancaman lanun. Dalam hal ini, Shariff Osman adalah pilihan terbaik untuk memberikan perlindungan dan jaminan keselamatan kepada penduduk Borneo Utara, khasnya di Marudu daripada ancaman lanun. Dengan ini, adalah mustahil seorang ketua yang menjadi pelindung rakyat di wilayahnya menyamun, membunuh, merogol atau melanun orang-orang yang menjadi rakyatnya sendiri.

Kesanggupan Shariff Osman untuk memberikan perlindungan terhadap orang-orang di bawah kekuasaannya dan kerelaannya untuk melindungi rakyatnya daripada ancaman dan serangan lanun-lanun telah menyebabkan ramai orang yang datang dan tinggal menetap di wilayah Marudu. Ini menyebabkan berlakunya ledakan penduduk di Marudu sehingga Marudu menjadi wilayah yang terpenting dan paling ramai didiami penduduk Borneo Utara ketika itu. St. John dalam bukunya," Life in the Forest of the Far East " yang ditulisnya pada tahun 1863 menganggarkan penduduk dalam "daerah Marudu" ketika itu lebih kurang 50,000 orang ( ) . Jumlah ini tidak termasuk penduduk di kawasan kepulauan Palawan, Balabak, Banggi dan pulau-pulau sekitarnya yang juga berada di bawah pemerintahan Shariff Osman. Jumlah penduduk ini jauh lebih ramai dari penduduk Kerajaan Brunei dan Kerajaan James Brooke. Negeri Marudu telah muncul sebagai saingan terbaru Kerajaan Brunei dan Kerajaan Brooke dan jika tidak disekat dan dimusnahkan besar kemungkinan ia akan mengancam semua kerajaan yang ada di Borneo Utara ketika itu. Penduduk-penduduk yang tinggal di negeri Shariff Osman terlibat dengan aktiviti ekonomi penternakan dan perikanan, sementara mereka yang tinggal kawasan penempatan Shariff Osman menjalankan aktiviti ekonomi perdagangan ( )

Dalam rancangannya untuk memberikan perlindungan terhadap rakyatnya, Shariff Osman telah dibantu oleh sejumlah besar panglima dan pahlawan dari Sulu, Brunei dan Borneo yang sanggup menjadi pengikutnya ( ). Dia telah membina kubu yang kuat di Kuala Sungai Besar yang dilengkapi dengan senjata api dan dua meriam yang besar. Bahagian depan kubunya telah ditempatkan kapal-kapal dan perahu perang yang sedia berperang pada bila-bila masa sahaja. Manakala perairan sungai bahagian hadapan kubunyan telah dipasang dengan rantai besi yang merentangi perairan kubunya agar kapal-kapal yang menyerang kubunya tidak dapat mendekati pangkalannya.

Kemakmuran dan keselamatan negeri Shariff Osman ini digambarkan oleh Dr.Ranjit Singh, seperti berikut;

" Evidence seems to indicate that chiefdoom was flourishing one, for though Sharif Osman was reputed to be a man of fierce disposition, many people came to settle under his jurisdiction as he could provide protection and security " - DR. Ranjit Singh : Commerative History Of Sabah 1881 - 1981. ( )

.........bersambung.......

Jumaat, 10 Oktober 2008

Asal-usul Nama Kota Marudu

Kota Marudu adalah sebuah daerah yang terletak di utara Negeri Sabah. Sebelum wujudnya Kota Marudu pada tahun 1970an, nama MARUDU atau MALUDU telahpun wujud dalam Peta Dunia sejak abad ke-14 lagi atau lebih kurang 500 tahun yang lalu, iaitu sama zaman dengan wujudnya nama MELAKA dalam sejarah dunia dan merupakan antara nama yang tertua sekali tercatat di Tanah Borneo. Lebih jelas lagi, nama MARUDU atau MARUDO atau MALUDU merupakan NAMA DAERAH ATAU WILAYAH ATAU NEGERI YANG TERTUA SEKALI yang telah digunakan dalam Negeri Sabah yang pernah tercatat dalam Sejarah Borneo. Namun keberadaan nama Marudu dalam peta dunia zaman kuno tidak disedari oleh orang-orang Sabah khasnya dan orang-orang Malaysia amnya. Malahan, tidak dinafikan kebanyakan ahli-ahli akademik, sejarawan, ahli politik atau pihak pentadbiran daerah dan negeri tidak menyedari dan tidak mengetahui perkara ini.

Ramai orang mendakwa, nama Bandau lebih awal digunakan dari nama Marudu untuk merujuk kewujudan Daerah Kota Marudu. Namun demikian, perkara ini adalah tidak benar dan sengaja diada-adakan. Perbuatan ini adalah satu perbuatan dan tindakan yang bersifat prejudis, tidak bertanggung jawab dan sengaja membunuh sejarah bangsa dan negeri sendiri. Tidak ada satupun catatan sejarah silam atau bukti arkeologi dan antropologi yang membenarkan kewujudan nama Bandau. Namun demikian, soal nama dan ras bangsa bukanlah satu kayu ukuran untuk mengukur rasa cinta dan sifat jatidiri serta kesetiaan kepada tanah air. Apa yang lebih penting ialah perpaduan dan kedamaian di kalangan warganya yang disertai dengan rasa tanggung jawab secara bersama untuk membangunkan dan mencintai tanah air kita.

Berdasarkan catatan di negara China, pada abad ke 7 atau ke 8 Borneo dirujuk sebagai Po-Li, Po-Lo atau Pu-Ni atau Bun- Lai dan aktiviti perdagangan kuno telahpun berlangsung antara borneo dan China. Ini dibuktikan dengan penemuan artifak dan kapal dagang China Zaman Dinasti Song ( 960 - 1126 M ) di Sampang Mangayau, Kudat. Sampang Mangayau masih terletak dalam kawasan perairan Teluk Marudu atau Marudo dan sebahagian daripada wilayah Marudu. Berdasarkan catatan pedagang pedagang dari negeri Arab dan India yang singgah di Pulau Borneo dan menjalinkan aktiviti perdagangan dengan Pulau Borneo, pedagang-pedagang ini seringkali menceritakan kepada pedagang-pedagang di China bahawa di Pulau Borneo terdapat sebuah gunung yang terletak di bawah angin dan ketinggiannya mencecah awan. Pelabuhannya dalam dan hasil utamanya ialah kapur barus. Pedagang-pedagang Arab, China dan India mengikhtiraf dan mengakui bahawa Kapur Barus dari Borneo adalah Kapur Barus yang terbaik di dunia. Aktiviti perdagangan antara bangsa ini berlaku di Borneo melalui pelabuhan di kawasan Marudu melalui bukti adanya artifak kuno seperti tembikar, peralatan tembaga dan kapal tenggelam ditemui di kawasan perairan Sampang Mangayau, Kudat dan penemuan taburan duit siling Zaman Dinasti Ming dan tembikar di Muara Sungai Milau, Kampung Parapat Laut yang terletak di kawasan Teluk Marudu. Serpihan pinggan mangkuk China dari Dinasti Ming juga ditemui di kawasan perkampungan Shariff Osman seperti di Kampung Marudu Laut dan Kampung Ranau, Kota Marudu. Perlu diingat, ketiga-tiga kawasan ini terletak dalam lingkungan kawasan perairan Marudu dan artifak-artifak yang ditemui ini berumur di antara 1000 tahun yang silam. Ini membuktikan bahawa kawasan Marudu telahpun menjadi pelabuhan perdagangan antara bangsa yang terpenting di Borneo sejak 1000 tahun yang silam lagi.

Pada tahun 1550, pedagang-pedagang Portugis direkodkan telah singgah di sebuah pelabuhan di Pulau Borneo yang dikenali dengan nama pelabuhan "MARUDO"(1). Nama MARUDO dicatatkan oleh seorang Ahli Sejarah Portugis FERNAO LOPES DE CASTANHEDA pada tahun 1550 sebagai sebuah pelabuhan asas yang digunakan oleh orang-orangnya (2). Beliau juga merekodkan nama MARUDO dalam Peta Pelayaran Portugis dan melukiskan adanya penempatan atau Bandar di pelabuhan Marudo.

Pada bulan Disember 1600 seorang sukarelawan Pelayaran Belanda bernama VAN NOORT dalam perjalanannya dari Teluk Brunei ke Pulau Jawa, telah merekodkan dan melukis kedudukan dan nama MARUDO dalam petanya. Berdasarkan catatan, rekod dan peta Fernao Lopes De Castanheda dan juga catatan dan peta Van Noort, seorang ahli geografi portugal bernamaTheodore De Bry telah melukis Peta Borneo yang dikenali sebagai BORNEO INSULA pada tahun 1602 dan merekodkan nama, petempatan dan pelabuhan MARUDO (3).

Asal-usul perkataan Marudu, dan sejak bila perkataan Marudu digunakan untuk merujuk Wilayah Marudu belum pernah dibuat kajian dan penyelidikan teliti oleh mana-mana pihak setakat ini. Oleh itu, saya akan cuba menyelongkar dan mengimbas sejarah silam dan menyemak buku-buku atau dokumen-dokumen lama yang ada kaitannya dengan nama Marudu. Berdasarkan kajian dan penyelidikan yang berterusan, saya mengandaikan bahawa Marudu telahpun dikenali sebagai sebuah pelabuhan, petempatan, negeri dan wilayah sejak adanya Kerajaan Lama di Asia Tenggara lagi. Kerajaan lama seperti Sri Vijaya ( ) dalam abad ke dan Kerajaan Majapahit ( 1292 M - 1478 M) dalam abad ke 11 hingga 13 telah meletakkan Marudu di Pulau Borneo sebagai antara kawasan dan wilayah yang pernah menjalinkan hubungan dengan kedua-dua kerajaan ini. Malahan Kerajaan Majapahit yang beragama Hindu-Buddha telah meluaskan jajahannya sehingga ke Pulau Borneo dan Kepulauan Sulu. Prapanca, seorang penulis diraja Majapahit dalam tahun 1365 telah mencatatkan dalam NEGARAKERTAGAM (4) bahawa Buruneng ( Brunei ) dan Solot ( Sulu ) sebagai wilayah jajahan Majapahit dalam Wilayah Borneo. Bahasa rasmi Kerajaan Majapahit ialah bahasa Sanskrit dan bahasa ini telah menjadi Lingua-Franca dalam kerajaan Majapahit. Oleh itu, bahasa ini juga tentunya turut digunakan di wilayah Borneo Lama.

Di Pulau Borneo, beberapa kerajaan lama dalam jajahan majapahit yang pernah wujud ialah Kerajaan Kutai Kartanegara yang beragama Hindu-buddha antara tahun 1300M - 1545M, Kerajaan Banjar yang menganut agama Hindu-buddha sehingga tahun 1526 dan Kerajaan PuNi ( Brunei ) yang menganut agama Hindu-buddha sehingga tahun 1365. Ketiga-tiga kerajaan ini telah menggunakan bahasa sanskrit dan bahasa melayu sebagai bahasa persuratan dan pertuturan. Berbalik kepada istilah Marudu, sebenarnya apabila diselidiki di kalangan bahasa-bahasa sukuan penduduk Pulau Borneo, belum ditemukan kata atau perkataan Marudu sebagai satu istilah dalam bahasa mereka. Oleh itu, perkataan Marudu tentunya dari bahasa lama sama ada bahasa sanskrit ataupun bahasa melayu lama. Memandangkan status Marudu sebagai sebuah wilayah yang penting di kepulauan Nusantara, maka tentunya istilah ini adalah satu istilah bahasa persuratan dan bukannya bahasa pertuturan. Kewujudan nama-nama tempat berdasarkan kata pertuturan setempat hanyalah merujuk kepada nama-nama tempat yang kecil dan kurang penting sahaja. Ini berbeza dengan nama Marudu iaitu sebuah nama yang merujuk kepada sebuah wilayah yang penting dan selalunya nama-nama tempat, negeri atau kerajaan adalah nama-nama penting dan tentunya istilah atau pengertiannya diambil dari bahasa persuratan sesebuah kerajaan itu.

Dalam bahasa Sanskrit, nama-nama tempat, negeri atau kerajaan selalunya diambil dari bahasa persuratan dan nama-nama ini selalunya merujuk kepada nama-nama yang baik, kuat, agung, gemilang dan sebagainya. Misalnya kata "MA" dalam bahasa sanskrit selalunya merujuk kepada nama pelabuhan, nama yang terbilang atau agung dan penting. MA - DHURA misalnya bererti Pangkalan atau tempat yang jauh, MA - LAKHA bererti Pangkalan atau tempat untuk dituju, MA-LUKU pula bererti Pangkalan atau tempat menurunkan orang dengan pantas.

Dalam bahasa Sanskrit, terdapat kata MARUDHU hasil dari gabungan beberapa perkataan atau rangkai kata; iaitu MA - RU dan DHU ( DU ). Kata MA bererti Pangkalan atau tempat sesuatu bermula, RU pula bererti pertempuran atau peperangan, mana kala kata DHU atau DU bererti amat menggerunkan atau amat menakutkan. Oleh yang demikian, rangkai kata MARUDHU atau MARUDU bererti "Pangkalan atau tempat untuk peperangan atau pertempuran yang amat menggerunkan atau menakutkan". Rangkai kata ini amat berpadanan dengan situasi dan istilah Marudu itu yang selama ini diistilah sebagai tempat yang sangat handal dan berilmu pahlawan-pahlawannya. Negeri-negeri jiran seperti Sulu, Palawan, Tawi-Tawi, Tidung, Banjar dan Brunei sememangnya agak gerun apabila seseorang itu merujuk dirinya berasal dari Marudu. Kegerunan terhadap orang-orang atau panglima dan pahlawan dari Marudu ini terus menghantui orang-orang negara jiran dan kegerunan ini masih terus dirasai terutamanya di era zaman aktiviti pelanunan ,iaitu sehingga abad ke 17 - 18. Ketika itu, Marudu mengambil tempat utama sebagai tempat yang paling ditakuti dan digeruni oleh musuh-musuhnya, khususnya oleh di kalangan orang-orang barat dan di kalangan lanun-lanun di Nusantara.

Pada abad ke 18-19, iaitu sewaktu Borneo Utara ( Sabah ) di bawah penguasaan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu, Wilayah Marudu telah memainkan peranan utama untuk menghasilkan pahlawan-pahlawan yang gagah perkasa sama ada di kalangan bangsa ke-Datuan ( Sulu dan Brunei ) ataupun dari kalangan bangsa suku asli seperti Dusun dan Sungai. Kegagahan dan kepahlawanan orang-orang Marudu ( meliputi kawasan dari Utara Kudat sehingga ke Tempasuk dan hingga ke kawasan Paitan, Sugut dan Kinabatangan) menjadi semakin terserlah pada zaman pemerintahan British sehinggakan Shariff Osman yang ketika itu menjadi Ketua Pemerintah Marudu digeruni oleh pihak British, amat ditakuti di Kepulauan Sulu dan Brunei. Keberanian, kepahlawanan dan kekuasaan Shariff Osman telah dicemburui oleh pembesar dari Brunei lebih-lebih lagi apa bila Shariff Osman mengisytiharkan Marudu dan dirinya sebagai "Negeri dan Pemerintah Bebas" ( ) yang berkecuali dari wilayah pajakan yang diserahkan oleh Sultan Brunei dan Sultan Sulu kepada pihak British. Tindakan Shariff Osman ini menyebabkan Raja Muda Hashim bertindak mengisytiharkan Shariff Osman sebagai Ketua Lanun dan Marudu adalah Wilayah Lanun ( ). Beliau telah meminta bantuan dan bergabung dengan pihak James Brooke, British North Borneo dan Tentera Laut Diraja British untuk menyerang dan memusnahkan kubu Shariff Osman di Muara Sungai Marudu. Shariff Osman disahkan terbunuh dalam serangan tersebut.

Pada tahun 1881 pihak British telah mula memerintah North Borneo dan mereka telah memulakan pentadbiran mereka di KUDAT iaitu sebuah nama dan kawasan baru yang ketika itu terletak dalam kawasan Marudu. Namun demikian, pihak British terpaksa berpindah ke Sandakan tiga tahun kemudian kerana ancaman lanun di perairan Marudu. Ketika ini, kawasan Marudu telah menjadi kecil dan istilah Marudu pada masa ini hanyalah merujuk kepada kawasan Bandau, Langkon, Tandek, Adjung,Teritipan, Marasinsim dan beberapa nama lain. Marudu tidak lagi merujuk kepada istilah kawasan atau wilayah tetapi hanyalah sebuah daerah pentadbiran kecil yang diletakkan di bawah Residensi Kudat. Nama Marudu tidak lagi segah dahulu sebaliknya Kudat telah menjadi satu nama yang lebih penting dan menerima tempias keunggulan dan kegagahan nama Marudu. Justeru itu, pihak British telah melantik seorang ketua baru bagi mengetuai orang-orang Bajau, Suluk dan Sungai di kawasan Marudu, Kudat dan Pitas. Beliau ialah Haji Abdul Rahim atau digelar Maharajah Panglima Untung ( Untang ) yang mentadbir kawasan Marudu berpusat di Limau-limauan, Kudat. Pihak Britsih telah mengeluarkan "SURAT SUNGAI" untuk mengikhtiraf Haji Abdul Rahim sebagai Ketua dan menguasai kawasan " DARI SUNGAI BENGKOKA ( meliputi kawasan dari Sungai Talaga ke Sungai Pitas ) KE SUNGAI GUMPAH "( sekarang terletak di kawasan Kg Landung Ayang Kudat ). Haji Abdul Rahim juga dianugerahkan kawasan tanah seluas 3,000 ekar di Limau-limauan Kudat dan 3,000 ekar di Pitas sebagai kawasan yang dikecualikan dari dipungut cukai kepala oleh pihak Britsih. Beliau sebaliknya dibenarkan memungut cukai persendirian berupa cukai tanam-tanaman , iaitu padi bukit dari penduduk tempatan di kawasan tersebut. Haji Abdul Rahim juga telah diminta oleh pihak British untuk mengamankan penentangan dari penduduk-penduduk tempatan. Di kawasan Kudat dan Matunggong pula, pihak British telah mengikhtiraf Tumanggong Kurantod sebagai Ketua orang-orang Rungus. Kedua-dua tokoh ini telah dianugerahkan gelaran pangkat oleh Sultan Sulu sebelum British mentadbir Borneo Utara. Haji Abdul Rahim dianugerahkan gelaran "Maharajah" ( gelaran ini seerti dengan kata Pemerintah Wilayah dan gelaran Tertinggi untuk Wakil Sultan ) dan Tumanggong Kurantod dianugerahkan gelaran " Tumanggong " ( gelaran tertinggi bagi Ketua Suku Asli di Borneo ).

Sebelum North Borneo mencapai kemerdekaan dan di awal tahun 50-an sehingga 60-an nama Bandau telah digunakan untuk merujuk pusat pentadbiran British di Pekan Lama. Nama Langkon atau Langkong pula digunakan untuk merujuk kawasan estet di Langkon. Nama Marudu dihidupkan semula pada tahun 1970-an untuk merujuk pusat pentadbiran daerah di sini. Apabila Pusat Pentadbiran Bandau dinaikkan taraf ke Daerah nama KOTA MARUDU akhirnya digunakan. Penambahan perkataan KOTA di awal perkataan MARUDU adalah sebagai merujuk dan mengenang perjuangan Pahlawan Tanah Air, Shariff Osman yang telah membuat Kubu di Muara Sungai Langkon sebagai mempertahankan tanah air dan daerahnya dari dijajah dan diambil oleh pihak British.

Pada masa ini, Kota Marudu ditadbir oleh Pegawai Daerah dan diwartakan sebagai sebuah Daerah Penuh di negeri Sabah. Kota Marudu terletak di dalam kawasan Parlimen Bandau dan dalam Dewan Undangan Negeri Tandek. Pusat Pentadbirannya di Pejabat Daerah Kota Marudu, di kawasan Pekan Baru Kota Marudu.